JOHOR Darul Ta’zim (JDT) dan rakan strategiknya, Penerbangan Malaysia telah sama-sama melakar sejarah baharu sejak pengumuman kerjasama antara dua pihak dimeterai pada bulan Februari lalu.

Harimau Selatan berlepas ke Jepun dengan pesawat Airbus 330 milik Penerbangan Malaysia yang juga turut melakukan penerbangan perdana ke Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo yang berlepas pada jam 2.45 petang semalam.

Acara pelancaran laluan baharu dalam rangkaian Penerbangan Malaysia itu diadakan di pintu perlepasan penerbangan MH36 dengan pelbagai aktiviti kebudayaan kedua-dua negara dan turut disertai pemain antarabangsa JDT.

Skuad JDT tiba di Tokyo dengan pesawat Penerbangan Malaysia

JDT melakar sejarah muncul kelab pertama Malaysia layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC manakala Penerbangan Malaysia juga kembali ke Haneda sebagai lambang pemulihan syarikat pasca pandemik Covid-19.

Kerjasama strategik antara JDT dan Penerbangan Malaysia

Sebelum ini pada Februari lalu, kerjasama antara dua jenama hebat negara ini telah ditandatangani di Ibu Pejabat JDT Iskandar Puteri antara pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia, Kapten Izham Ismail.

Menerusi kerjasama strategik ini, Penerbangan Malaysia menjadi rakan penerbangan rasmi JDT yang akan menerbangkan pasukan ini untuk perlawanan di dalam dan diluar negara selain dari hak barangan cenderahati dan interaksi pelanggan menerusi pengalaman.