KETUA Jurulatih dan Pengurus Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui pasukannya terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan Sri Pahang FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.

Solari mengakui aksi menentang skuad kendalian Fandi Ahmad itu begitu sukar selepas Sri Pahang bermain dengan corak bertahan yang berdisplin hingga menutup setiap ruang yang menyukarkan JDT bermain dengan corak permainan yang biasa dilakukan.

Oleh itu dia mengarahkan pemainnya untuk mengawal permainan dan menyusun serangan lebih rapi dan hasilnya berjaya mencipta jaringan dilewat babak pertama sekali gus memberi lebih keyakinan bagi mengharungi babak kedua sekali gus berjaya menewaskan skuad Tok Gajah.

“Apa yang berlaku sepanjang babak pertama, kita boleh jaringkan gol dan ada kekasaran terhadap pemain yang membolehkan kita mendapat sepakan penalti tapi ianya serba tidak menjadi malah mereka tidak berputus asa dan terus menyerang untuk cipta gol.

“Pada babak kedua, kami menguasai permainan dan terus memberi tekanan dengan corak berintensiti tinggi dengan melakukan serangan di posisi sayap namun tindakan lawan yang bermain secara kompak di posisi tengah menjejaskan kelancaran umpanan bola pendek yang kerap kami pratikkan tetapi usaha berterusan membolehkan kami jaringkan gol kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Solari juga menegaskan kekentalan barisan pertahanan lawan yang mempunyai pemain yang tinggi menjadi punca Harimau Selatan gagal mendapatkan jaringan meskipun dihadiahkan lapan sepakan sudut sepanjang 90 minit perlawanan itu.

Bekas pembantu jurulatih skuad B-23 tahun Argentina itu juga menolak tanggapan bahawa posisi tengah JDT kurang mantap tanpa Endrick Dos Santos kerana mereka mempunyai ramai pemain yang boleh menggalas tanggungjawab di bahagian itu.

“Benar kami tidak begitu efektif dalam perancangan `set-piece‘ tetapi kami sudah beri yang terbaik dan corak pasukan lawan yang kerap memperlahankan permainan juga menjadi faktor utama kami tidak bermain pantas seperti biasa.

“Tanpa Endrick, corak permainan posisi tengah tidak terjejas, walaupun ada ketika mereka bergelut dengan pemain tengah Pahang tetapi persembahan Afiq, Leandro dan Hong Wan membanggakan apabila mengunci barisan pemain lawan yang jelas sukar untuk bergerak,” tambahnya.

Jaringan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah kepada 12 perlawanan berturut-turut dan kini mendahului lapan mata di persada Liga Super.