Keputusan seri 1-1 antara Selangor FC dan Kuching City FC pada aksi separuh akhir pertama menyaksikan peluang kedua-dua pasukan untuk mara ke final Piala Malaysia masih terbuka.
Berbeza dengan satu lagi aksi separuh akhir yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim FC hampir pasti melangkah ke final selepas kemenangan 4-0 ke atas KL City FC, pertembungan Selangor dan Kuching City dijangka lebih sengit menjelang aksi timbal balik pada 18 April ini.
Pengendali Selangor, Kim Pan Gon optimis pasukannya memiliki kelebihan untuk melangkah ke final berdasarkan persembahan dipamerkan dalam aksi pertama di Stadium MBPJ.
Menurutnya, walaupun terpaksa menunggu hingga penghujung perlawanan untuk menyamakan kedudukan, Selangor tetap berpegang kepada falsafah permainan menyerang dan mengawal tempo perlawanan.
“Bagi saya, kita ada peluang yang lebih tinggi berbanding Kuching City kerana kami beraksi lebih baik. Kami gembira jika mereka menyerang pada aksi kedua nanti.
“Kami akan ke sana dan lihat bagaimana pendekatan mereka. Ia akan menjadi perlawanan yang baik kerana kami juga tidak akan bertahan,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Kuching City terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Ronald Ngah Wanja pada minit ke-40 sebelum Chrigor Moraes menyamakan kedudukan buat Selangor pada penghujung permainan.
Bagaimanapun, Kim mengakui anak buahnya perlu meningkatkan prestasi menjelang aksi kedua memandangkan mereka bakal berdepan cabaran lebih sukar di gelanggang lawan.
“Separuh akhir sentiasa sukar, lebih-lebih lagi Kuching City bertahan dengan sangat baik dan sukar ditembusi.
“Kami kekal positif, terus menyerang dan mendominasi perlawanan, namun penyudah perlu diperbaiki,” katanya.
Aksi timbal balik nanti dijangka menjadi penentu penting buat kedua-dua pasukan dalam usaha merebut satu lagi slot ke final Piala Malaysia musim ini.
Sumber Gambar: BERNAMA