PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal memanfaatkan peluang membalas dendam apabila tunduk 1-2 kepada Buriram United dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Buriram, malam Selasa. Kekalahan itu sekali lagi mengingatkan Harimau Selatan kepada episod pahit musim lalu apabila disingkirkan pasukan sama di pusingan 16.

Anak buah Xisco Munoz bermula garang apabila Joao Figueiredo meledak jaringan seawal 24 saat, namun gol itu dibatalkan selepas semakan VAR mengesan bola terkena tangannya sebelum percubaan tersebut. Buriram juga mengalami nasib sama apabila jaringan Bissoli pada minit kelapan dibatalkan kerana ofsaid.

JDT akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-25 menerusi sentuhan pertahanan, Antonio Glauder yang pantas menolak bola melepasi kawalan Neil Etheridge. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat, memberi sedikit kelegaan buat penyokong pelawat.

Namun, babak kedua menyaksikan kebangkitan Thunder Castle yang diketuai Suphanat Mueanta. Pemain muda itu meledak gol penyamaan pada minit ke-50 menerusi rembatan lencong menewaskan Andoni Zubiaurre sebelum menjadi arkitek gol kedua, apabila lorongannya disudahkan mudah oleh Robert Zulj tujuh minit kemudian.

Buriram hampir menambah derita JDT selepas diberikan sepakan penalti pada minit ke-76, namun VAR sekali lagi campur tangan untuk membatalkan keputusan tersebut. JDT yang tidak berputus asa hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-82, tetapi tandukan Figueiredo ditepis cemerlang Etheridge.