HARAPAN Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari Stadium Buriram musnah angkara kelincahan penyerang muda Thailand, Suphanat Mueanta yang menjadi pemisah utama antara kedua-dua pasukan.
Pengendali JDT, Xisco Munoz sendiri mengakui kualiti penyerang berusia 22 tahun itu terlalu sukar dibendung sehingga Harimau Selatan pulang hampa tanpa sebarang mata. Suphanat bukan sahaja menghadiahkan gol penyamaan buat Buriram United, malah turut mencipta gerakan untuk gol kemenangan yang disempurnakan Robert Zulj.
“Kita ada bercakap tempoh hari tentang Suphanat. Kita tidak boleh beri peluang dalam kotak penalti dengan penyerang berkualiti sebegitu. Ini kerana beliau akan mencipta peluang kepada penyerang lain untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang benda kecil sebegini boleh mengubah permainan,” kata Munoz selepas tamat perlawanan.
Terserlah bagaimana Suphanat masih menjadi mimpi ngeri buat benteng JDT, yang sebelum ini pernah beberapa kali dibolosi anak muda itu dalam pentas antarabangsa. Kali ini, bekas penyerang OH Leuven sekali lagi membuktikan dirinya ‘pembunuh senyap’ yang tidak boleh dipandang ringan.
Kekalahan ini hadir dalam suasana penuh kecewa kerana JDT terlebih dahulu berada di depan, namun kegagalan mengekang ancaman Suphanat menjadi detik yang membezakan keputusan. Buriram meraih kemenangan di laman sendiri, manakala JDT kini berdepan tekanan untuk segera bangkit dalam aksi seterusnya.
Fokus kini beralih kepada pertembungan menentang Sabah FC pada 21 September, perlawanan yang bakal menjadi peluang terbaik buat Harimau Selatan menutup luka dan kembali mencari rentak kemenangan.