HECTOR Bidoglio menafikan faktor jadual padat dan kepenatan menjadi punca Johor Darul Ta’zim FC (JDT) gagal mencapai kemenangan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, ketika berdepan PDRM FC.
Sebaliknya, pengendali Harimau Selatan itu menganggap kesungguhan The Cops menjadikan perlawanan itu sukar buat mereka, namun tetap memuji persembahan pemainnya yang memiliki banyak peluang mencipta jaringan.
“Ia perlawanan yang sukar tapi pemain sentiasa cuba menjaringkan gol.
“Kita menguasai perlawanan dan membuat serangan… kami akan berusaha gigih lagi pada perlawanan akan datang,” kata Bidoglio, selepas pasukannya diikat PDRM 1-1.
Ketika ditanya sama ada sudah menjangka keputusan sedemikian sebelum turun padang, Bidoglio mengakui tidak sama sekali: “Setiap perlawanan kita hadapi, saya sasarkan kemenangan.
“Tetapi inilah bola sepak dan bagi kami semua perlawanan adalah sukar.”
Keputusan seri itu bermakna rekod kemenangan JDT lebuh di tangan PDRM, selepas kali terakhir mereka gagal mencapai kemenangan dalam Liga Malaysia adalah pada 23 Ogos 2023 di Stadium Darul Aman ketika seri 3-3 dengan KDA.