PEMANDU pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR), Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim berjaya muncul juara perlumbaan pertama kejuaraan GT World Challenge Asia di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand pada Ahad.
Tunku Abu Bakar bergandingan dengan pelumba endurance Jerman, Luca Stolz cemerlang menamatkan saingan di kedudukan teratas podium dengan catatan masa 1 jam 50.992 saat selepas bermula dari petak pertama hasil masa terpantas ketika pusingan kelayakan pada Sabtu.
Namun begitu, hasrat gandingan tersebut untuk memperolehi kemenangan ‘double’ tidak kesampaian apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-11 dalam perlumbaan kedua.
“Semalam adalah hari yang menakjubkan. Layak berada di petak pertama adalah kemuncak sebenar dalam kerjaya saya setakat ini dan saya sangat gembira untuk meraih kemenangan pertama.
“Keadaan agak sukar, tetapi saya, Luca dan pasukan semuanya melakukan tugas dengan hebat. Alangkah baik jika dapat mengutip mata hari ini, tapi kami masih sangat gembira sepanjang hujung minggu ini,” kata Tunku Abu Bakar dalam kenyataan yang dikeluarkan JMR.
JMR turut diwakili seorang lagi putera Sultan Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama pemandu V8 Supercars Australia Broc Feeney yang mengakhiri saingan perlumbaan pertama dan kedua masing-masing di kedudukan ketujuh dan ke-12.
Kedua-dua Putera Sultan Johor ini akan meneruskan saingan pusingan kedua kejuaraan GT World Challenge Asia di Litar Lumba Antarabangsa Fuji, Jepun pada 16 hingga 18 Jun 2023.