BINTANG muda Muay Thai negara, Johan “Jojo” Ghazali membuktikan dirinya masih kekal sebagai harapan besar sukan tempur tanah air apabila menumbangkan lawannya dari Maghribi, Zakaria El Jamari dengan KO pusingan pertama pada ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Aksi penuh bergaya itu hadir hanya dua minit selepas loceng permulaan, apabila Jojo melepaskan siri tumbukan padu ke badan dan kepala yang membuatkan Zakaria rebah tidak berdaya. Kemenangan ini menepati janji anak muda berusia 18 tahun itu yang bertekad menamatkan pertarungan di pusingan pertama.
“Saya kata saya akan KO dia di pusingan pertama, dan saya bukan jenis yang buat janji kosong. Pertarungan ini tentang membuktikan kepada dunia bahawa saya sudah berevolusi, lebih kuat, lebih bijak dan lebih lapar untuk menang,” katanya penuh semangat.

Atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali Zulfikar, kembali garang dengan kemenangan bergaya apabila menewaskan lawannya dari Maghribi, Zakaria El Jamari, menerusi TKO pada pusingan pertama di ONE Fight Night 35 di Bangkok, Sabtu. — FOTO: ONE Championship
Kebangkitan ini hadir selepas Jojo melalui detik sukar tahun ini apabila tewas berturut-turut kepada bintang Thailand, Tapaokaew Singha Mawynn dan jaguh berpengalaman Itali-Kanada, Jonathan Di Bella. Kekalahan tersebut nyata menjadi titik muhasabah buatnya untuk memperbaiki kelemahan.
“Dua kekalahan itu mengajar saya bahawa bakat semata-mata tidak cukup. Saya perlu bina semula pertahanan, pergerakan kaki dan juga mentaliti. Kalah memang sakit, tapi ia memaksa saya untuk kembali lebih kuat,” jelasnya.
Kali ini, Jojo tampil dengan disiplin lebih tinggi, tidak lagi menyerang secara terburu-buru sebaliknya mengawal rentak dengan agresif yang lebih tersusun. Ketepatan pukulan serta fokus luar biasa akhirnya menghadiahkan KO keenam dalam kariernya di bawah ONE Championship.
Pada usia baru 18 tahun, Jojo sudah mencuri perhatian dunia dengan gaya pertarungan berani, karisma besar serta kebolehan menghasilkan KO dramatik. Kemenangan ini sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai antara bintang muda paling menyerlah dalam arena seni bela diri antarabangsa.
FOTO: ONE Championship