PEMILIK rekod kebangsaan acara lontar peluru wanita, Nani Sahirah Maryata kecewa dengan prestasi di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 biarpun meraih emas dalam acara kegemarannya itu.
Melakukan catatan terbaik sejauh 13.27 meter (m), ternyata lontaran dilakukannya jauh meleset berbanding ketika dia memecahkan rekod kkebangsaan di Kejohanan Olahraga GrandFinal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tahun lalu.
Disember tahun lalu, atlet dari Pahang itu memecah rekod kebangsaan berusia 33 tahun milik Lee Chiew Har 14.41 yang dirakam pada 1989 di Kuala Lumpur, dengan catatan baharu 14.48.
Mengakui kurang fokus kerana tidak cukup rehat selain gagal fokus kerana ibunya sedang sakit, dia akur dengan prestasinya namun tetap gembira kerana memenangi pingat emas.
“Sebenarnya saya tak berpuas hati kerana ia tidak menghampiri rekod peribadi saya 14.48m. Saya cuma berjaya buat 13.27m sahaja,” katanya.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) itu, seorang lagi atlet Pahang, Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar di kedudukan kedua (12.2m) manakala gangsa dimenangi wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Queenie Ting Kung Ni (11.35m).
Justeru, Nani perlu memberi tumpuan lebih pada persiapan menghadapi Sukan Sea Kemboja dan dia dijangka menjalani latiahan di Australia.