KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan mereka memandang serius isu bayaran insentif yang belum diterima oleh beberapa penerima Anugerah Olahragawan dan Olahragawati sejak tahun 1966.
KBS dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa sejak Majlis Sukan Negara mengambil alih penganjuran Anugerah Sukan Negara pada 1984, tidak pernah timbul masalah bayaran insentif yang gagal sampai kepada pemenang.
Bagaimanapun, KBS komited untuk mencari penyelesaian dengan mengadakan rundingan bersama persatuan sukan yang memayungi atlet masing-masing.

Kenyataan KBS ini hadir selepas isu kegagalan penganjur anugerah sebelum ini, didrdahkan sebuah agensi media sekali gus kementerian memuji langkah Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang menunjukkan tanggungjawab dengan melunaskan bayaran insentif kepada pemenang anugerah tahun 1970.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) turut tampil positif dengan menyatakan kesediaan menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat jumlah sebenar insentif yang belum dijelaskan.
Tindakan proaktif PKBM dan KOM ini dilihat sebagai contoh terbaik dalam memastikan isu lama ini dapat diselesaikan dengan segera.
KBS percaya usaha kolektif ini penting demi menjaga maruah dan penghormatan yang sepatutnya diberikan kepada para atlet negara.