PEMAIN futsal Harimau Malaya B-19, Aidil Zakwan melaungkan semangat juang tinggi menjelang aksi separuh akhir menentang Thailand malam ini, sambil berjanji skuad negara tidak akan membenarkan lawan menjaringkan gol awal dalam usaha memburu pingat untuk Malaysia.
Aidil mengakui kemaraan ke separuh akhir sudah memenuhi sasaran awal pasukan, namun menegaskan perjuangan tidak akan terhenti setakat itu sahaja kerana pemain-pemain muda negara mahu melangkah lebih jauh ke pentas final. Menurutnya, rasa bangga tetap ada terhadap pencapaian pasukan, namun pada masa sama dia turut memohon maaf kepada penyokong sekiranya persembahan pasukan sebelum ini belum mampu menghadirkan keputusan terbaik.
“Bagi saya, bangga dengan pasukan sebab dapat capai sasaran ke semi-final. Tapi untuk penyokong-penyokong juga, kita nak minta maaf sebab tak dapat bagi keputusan yang baik. Walaupun target kita sampai semi-final, kita takkan berhenti di sini,” katanya.
Mengulas pertemuan menentang Thailand, Aidil menyifatkan cabaran itu sebagai pembakar semangat buat skuad negara untuk berjuang habis-habisan, meskipun sedar lawan memiliki kelebihan tersendiri. Jelasnya, kekangan tempoh latihan yang singkat menyebabkan pasukan lebih menumpukan aspek bertahan berbanding serangan, namun ia tetap menjadi identiti permainan yang diterapkan jurulatih, Rakphol Sainetngam.
“Dari segi permainan, kita banyak main bertahan sebab tak dapat latihan yang panjang. Bahagian serangan memang kurang, tapi jurulatih ajar kita bertahan. Apa yang kita main sebelum ini, itulah kita,” jelasnya.
Aidil turut memberi jaminan perlawanan separuh akhir nanti akan dimulakan dengan disiplin tinggi, terutama bagi mengelak Thailand memperoleh gol awal yang boleh memberi kelebihan psikologi kepada lawan.
“Saya janji dengan penyokong semua, kita takkan bagi mereka gol awal. Sekurang-kurangnya kita akan berjuang dari awal dan bagi permainan yang nampak berjuang,” katanya penuh tekad.
Sebagai penutup, pemain muda itu menegaskan sasaran peribadinya adalah membawa pulang pingat sebagai hadiah buat negara, keluarga dan seluruh penyokong Harimau Malaya, sambil berharap sokongan padu terus diberikan kepada pasukan.
“Saya nak bawa balik medal untuk Malaysia, untuk keluarga saya dan untuk penyokong-penyokong semua. Harap semua terus sokong kami,” katanya.