SERAMAI 33 orang atlet sepak takraw kebangsaan terdiri daripada 21 atlet lelaki dan 12 atlet wanita, untuk mengikuti Program Podium 2025.

Program ini adalah langkah utama dalam persiapan Malaysia untuk menghadapi beberapa kejohanan berprestij seperti Sukan SEA Thailand 2025, Piala Asia 2025, Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai 2025, dan Sukan Asia di Jepun 2026.

Pemilihan ini berdasarkan prestasi cemerlang atlet dalam beberapa kejohanan besar sepanjang tahun ini, termasuk Kejohanan Piala Emas Khir Johari 2024, Kejohanan Sepaktakraw STL 2024, dan Piala Tun Ali 2024 bagi skuad lelaki.

Manakala skuad wanita dipilih melalui kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dan sesi pemilihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Disember 2024. Penilaian ini dilakukan oleh barisan kejurulatihan sepak takraw kebangsaan yang mengutamakan pencapaian semasa serta potensi atlet untuk mengharumkan nama negara di kejohanan antarabangsa.

Antara atlet yang terpilih adalah Mohammad Syahir Bin Mohd Rosdi dari Kuala Lumpur, yang turut bersama-sama pemain seperti Muhammad Haziq Bin Hairul Nizam (Negeri Sembilan) dan Muhammad Zarif Marican (Kuala Lumpur) dalam posisi tekong lelaki.

Di posisi apit kanan dan kiri, atlet seperti Mohamad Azlan Bin Alias (Kuala Lumpur), Amirul Zazwan Bin Amir (Kuala Lumpur), serta Aidil Aiman Bin Azwawi (Perak) juga turut dipilih.

Bagi skuad wanita, pemain seperti Siti Hadifitri Navilla Binti Jumidil dari Sabah dan Siti Nor Zubaidah Binti Che Ab Wahab (PDRM) terpilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai tekong, sementara Fisydiana Binti Faradona dan Kamisah Binti Khamis dari Sabah berada di posisi apit kanan (killer).

Posisi apit kiri pula akan diserahkan kepada atlet seperti Azeira Binti Lusian dan Veronica Asli, yang juga berasal dari Sabah.

Bermula 2 Januari 2025, kesemua atlet ini akan melaporkan diri MSN untuk memulakan latihan dalam Program Podium 2025. Program ini diharapkan dapat meningkatkan lagi prestasi mereka agar dapat bersaing di pentas antarabangsa.

Kejohanan-kejohanan seperti Sukan SEA 2025 dan Sukan Asia 2026 menuntut persiapan fizikal dan mental yang mantap dari semua atlet, dan Program Podium 2025 adalah platform terbaik untuk mencapai matlamat tersebut.

Dengan barisan atlet muda yang berpotensi dan semangat juang yang tinggi, Malaysia optimis dapat terus bersaing dan meraih kejayaan besar dalam sukan sepak takraw. Semua peminat sukan tanah air diharap akan terus memberikan sokongan penuh kepada skuad negara yang akan berjuang di pelbagai kejohanan berprestij ini.