Oleh: MOHD FARIQ
KEPUTUSAN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan Brad Maloney atas persetujuan bersama bukanlah sesuatu yang mengejutkan berikutan prestasi pasukan kebangsaan Bawah 23 tahun yang hambar pada dua kejohanan besar berturut-turut.
Sekalipun mara ke separuh akhir di Sukan SEA Vietnam, anak didik Maloney tidak melepasi ujian besar di Piala Asia AFC Bawah 23 tahun di Uzbekistan.
Nasi sudah menjadi bubur. Tanpa satu persekitaran sihat bagi membantu Maloney menyediakan pasukan yang berwibawa, tidak banyak yang boleh dibuat oleh mana-mana jurulatih dalam waktu yang singkat.

Maloney dilepaskan sebagai ketua jurulatih B-23 tahun pada Rabu.
Namun rata-rata netizen melihat Maloney tidak dapat menyesuaikan anak buahnya dengan satu falsafah permainan yang solid sebagaimana dibuat oleh Kim Pan-gon dalam laluan layak ke Piala Asia AFC 2023.
Pan-gon membuktikan dalam tempoh singkat, bermula Mac hinggalah Jun, iaitu lebih kurang empat bulan dengan hanya dua kali latihan pusat, tiada yang mustahil dalam mengubah corak permainan pemain tempatan.
Sebab itu penulis berasakan bahawa calon paling layak untuk mengekalkan kesinambungan di bawah Pan-gon ialah E. Elavarasan.
Ini bukan kerana penulis mengenali Elavarasan atau Ela dengan rapat sejak beliau melatih Public Bank. Tetapi dengan pengalaman beliau menguruskan modal insan tempatan, ditokok dengan pengalaman membantu Pan-gon, Ela tentu memahami falsafah Pan-gon.

Ela (kanan) dan Marti (tiga dari kanan) antara ‘orang penting’ dalam barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.
Dalam tempoh dua tahun mendatang ini, adalah penting untuk pasukan Bawah 23 tahun negara dibentuk agar menjadi pembekal semula jadi kepada skuad kebangsaan.
Pan-gon yang bersetuju dengan pelantikan Ela sebagai penolongnya pada Februari lalu, tentu menganggap bekas pemain pertahanan Selangor itu menepati kriteria sebagai jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia.
Seorang lagi calon yang sesuai ialah penolong jurulatih Pan-gon dan rakan sekerja Ela, Pau Marti.
Namun, andai Ela atau Marti tidak dilepaskan oleh Pan-gon, FAM juga ada opsyen lain.
Andai FAM mahu memberi pendedahan kepada generasi muda, penulis mencadangkan nama-nama seperti Nafuzi Zain, Nidzam Jamil, Shukor Adan dan Yusri Che Lah diberi peluang menyertai struktur kejurulatihan badan induk itu.
Pada usia 44 tahun, Nafuzi sudah bersedia untuk meningkat setakuk lagi dan memberanikan diri pulang ke FAM yang satu ketika menjadi tempat permainannya selaku pelatih skuad Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun pada 1997.

Nafuzi juga dianggap calon paling sesuai menguruskan skuad Bawah 23 tahun negara- Foto: TFC
Begitu juga Nidzam, 42, dan Shukor, 43, – dua anggota skuad bimbingan Allan Harris untuk skuad Sukan SEA 2001, manakala Yusri, 46, bekas penyerang di bawah Abdul Rahman Ibrahim dan pernah ditugaskan mengendalikan skuad Projek FAM-MSN.
Dari segi jangka masa panjang, kelompok jurulatih muda ini harus didedahkan dengan persekitaran prestasi tinggi yang diterapkan oleh Pan-gon – sama ada dari segi pengendaliannya menyuntik motivasi di hotel penginapan, menggunakan kaedah saintifik dan teknologi bagi membantu pasukan kejurulatihannya, analisis pasukan dan lawan, serta pengurusan modal insannya, khususnya mengendalikan pemain yang kurang disiplin.
Barulah ada perpindahan ilmu dan teknologi untuk diwarisi anak tempatan!