PENGENDALI Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menjelaskan tempoh permainan di separuh masa kedua lebih baik kerana para pemain rajin mencuba.

Sambil mengakui ada melakukan sesuatu semasa di bilik persalinan pada waktu rehat, Teong Kim berkata kadangkala jurulatih perlu berpewatakan berbeza.

“Kadang-kadang jurulatih mesti seperti kuda. Kalau anda ada kuda, kuda itu mesti bagi dia makan gula, kadang sebat dia untuk berlari. Jadi manusia pun serupa juga.

“Kalau anda ada keldai pun serupa juga. Kalau kamu pernah tunggang keldai, dia punya perangai mesti central, ketuk dia supaya dia berjalan. Ini yang berlalu dan biasa dalam bola sepak. Kadang-kadang terpaksa mengejutkan mereka,” katanya.

Obiozor (belakang,kiri) tidak tampil aksi terbaik semasa diturunkan ketika tewas 0-3 kepada Sri Pahang.

Jurulatih berusia 59 itu turut mengulas prestasi penyerang import dari Nigeria, Christian Obiozor yang gagal menyengat semasa bertemu Sri Pahang FC.

“Kita main bola sepak 11 orang bukan 10 orang. Jadi dia pun ada kecederaan ringan yang mana kacau permainannya. Jadi itu sebabnya.

“Lutut dia pun memberi masalah dan dia tak boleh bagi persembahan yang sempurna,” jelas Teong Kim.

Justeru itu, beliau menagih tempoh rehat liga selama dua minggu ini membolehkan pemain dilanda kecederaan kembali semula ke pangkuan pasukan.

Break ini datang tepat pada masanya bagi saya. Pemain yang cedera sedikit boleh pulih semula. Hafizal (Mohamad) dan Sunday (Kolawole Afolabi) akan kembali,” katanya.

The Bos Gaurus akan bermain dalam perlawanan pertama bulan Ramadan dengan bertandang ke Stadium Bandaraya bertemu pasukan jiran dari utara, Penang FC pada 31 Mac depan.