PEMAIN perseorangan lelaki negara Justin Hoh merangkul gelaran senior ketiganya tahun ini selepas menang dalam aksi final Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa (IC) Malaysia di Ipoh, Perak pada Ahad.

Justin mengatasi pilihan ke-11, Aidil Sholeh Ali Sadikin  18-21, 21-16. 21-17 dalam saingan akhir penuh menghiburkan di Arena Badminton Perak di Ipoh.

Pemain berusia 18 tahun itu juga sebelum ini mengejutkan pemain senior, Jacky Kok dan Leong Jun Hao masing-masing pada pusingan kedua dan suku akhir.

Pada Jun lepas, Justin memenangi gelaran senior di Terbuka Croatia dan Antarabangsa Bonn di Jerman.

Bagi Aidil pula, ini adalah final kejohanan antarabangsa pertamanya sejak bergelar naib juara Terbuka Hellas 2019.

 

Sementara itu, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing menggondol kejuaraan beregu campuran selepas mengalahkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 18-21, 21-15, 21-19 aksi melibatkan sesama pemain negara.

Pang Ron-Mei Xing berjaya mengatasi Tang Jie-Ee Wei dalam pertembungan sengit.

Manakala, pemain Indonesia, Yulia Susanto mengecewakan harapan K Letshanaa dengan kemenangan straight set 21-16 21-19 dalam acara perseorangan wanita.