PASANGAN China sememangnya berada pada tahap yang berbeza dan tetap pilihan untuk menjuarai kategori beregu campuran, pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, yang akan bermula esok.

Pasangan nombor lima dunia, Toh Ee Wei berkata, meskipun dia dan Chen Tang Jie pernah mengalahkan dua gandingan utama dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping (no.1) dan Jiang Zhen Bang (no.2), masih ada jurang yang besar antara pemain China dan negara lain.

Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping menjuarai 5 gelaran Jelajah Dunia tahun lalu.

“Pasangan China berlatih bersama rakan-rakan yang berkelas dunia, nombor 1, 2, 3 dunia.

“Mereka berlatih bersama dan sudah tentu kualiti mereka lebih baik dari kami.

“Apapun, kami akan mencuba mengejar mereka,” kata Ee Wei, ketika menjalani menguji gelanggang di Axiata Arena.

Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan, tewas empat kali kepada Yan Zhe-Dong Ping, namun memiliki dua kemenangan ke atas lawan termasuk pada peringkat kumpulan di Sukan Olimpik lalu.

Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin mengungguli empat gelaran Jelajah Dunia sepanjang 2024.

Sementara itu, mereka ketinggalan 1-2 kepada Zhen Bang-Ya Xin.

Gandingan utama negara itu, akan memulakan saingan Terbuka Malaysia menentang Wi Hsuan Yi-Yang Chu Yun dari Taiwan di pusingan pertama, sebelum dijangka bertemu Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (senegara) pada pusingan kedua.

Untuk rekod, kali terakhir pemain negara meraih gelaran Terbuka Malaysia adalah 65 tahun lalu menerusi gandingan Teh Kew Sin-Ng Mei Ling.