GERGASI Serie A, Juventus FC bercadang mengadakan perlawanan pertunjukan di negara ini antara akhir tahun 2022 dan Julai tahun depan.

Menurut laman rasmi Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Juventus juga berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.

“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia.

“Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.

“Juventus juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” kata Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin selepas menerima kunjungan hormat itu pada Isnin.

FAM menerima kunjungan hormat daripada Juventus yang sedang meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala bertujuan memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia.

Delegasi Juventus diwakili oleh Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung.

 

Tambah Datuk Haji Hamidin, menerusi perbincangan awal ini  pihak Juventus juga meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia.

“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya.