PENGURUS Fulham, Marco Silva memuji aksi pemainnya yang berjaya menundukkan Chelsea yang bermain dengan 10 orang setelah Joao Felix dilayangkan kad merah pada minit ke-58 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Aksi yang berlangsung di Stadium Craven Cottage itu menyaksikan Willian dan Alves Morais muncul wira pasukan apabila menyumbat masuk gol masing-masing pada minit ke-25 dan 73.

“Chelsea adalah pasukan yang hebat. Mereka adalah kelab yang besar dan bajetnya lebih besar dari kami, anda tidak boleh hendak bandingkan.

“Ia merupakan malam gemilang untuk semua peminat pasukan kami dan ianya berbaloi buat mereka. Saya rasakan ia sangat istimewa buat penyokong kerana sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, mereka meraikannya sangat luar biasa.

“Pemain saya telah menampilkan semangat juang yang tinggi sepanjang musim. Saya tahu kita sedang berada di pertengahan musim dan banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki dalam perlawanan akan datang,” jelas Silva.

Keputusan tersebut turut menambahkan tekanan kepada Pengurus Chelsea, Graham Potter yang hanya menang dua kali dalam 10 perlawanan yang dilalui sepanjang musim berlangsung.

Joao Felix yang baru sahaja menyertai Chelsea pada Rabu dalam perpindahan 9.7 juta Euro secara pinjaman sehingga penghujung musim dari Atletico Madrid, dilayangkan kad merah atas terjahan keras terhadap pertahanan Fulham, Kenny Tete dan akan digantung tiga perlawanan selepas ini.