Coventry City akhirnya mengesahkan promosi automatik dari Liga Kejuaraan (Divisyen 2) ke Liga Perdana Inggeris selepas menamatkan penantian 25 tahun daripada saingan tertinggi bola sepak England.
Skuad kendalian Frank Lampard hanya memerlukan satu mata dalam aksi menentang Blackburn Rovers dan berjaya mencapainya menerusi keputusan seri 1-1 di Ewood Park.
Keputusan itu menyaksikan Coventry mengumpul 86 mata, sekali gus memastikan kedudukan dua teratas Liga Kejuaraan dan mengesahkan tiket automatik ke Liga Perdana Inggeris dengan baki tiga perlawanan.
Kejayaan tersebut cukup signifikan buat kelab berkenaan yang pernah beraksi di Liga Dua (Divisyen 4) pada 2018 sebelum bangkit secara berperingkat untuk kembali ke pentas elit.
Pada 2023, Coventry hampir melakar kejayaan sama apabila mara ke final play-off di Wembley, namun tewas menerusi penentuan penalti kepada Luton Town.
Musim berikutnya pula menyaksikan mereka terlepas peluang ke play-off sebelum perubahan dilakukan dengan pelantikan Lampard yang mengambil alih pasukan ketika berada di tangga ke-17.
Di bawah kendalian Lampard, Coventry bangkit dengan prestasi cemerlang dan muncul antara pasukan paling konsisten sepanjang musim, selain memiliki antara jentera serangan paling tajam dalam Liga Kejuaraan.
Walaupun mengalami penurunan prestasi di pertengahan musim, Coventry bangkit memperkemaskan permainan sebelum menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas liga.
Kejayaan ini menandakan kebangkitan semula Coventry City dan membuka lembaran baharu mereka di Liga Perdana Inggeris musim hadapan.
Sumber Gambar: FB Coventry City