KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menetapkan mentaliti kemenangan menjelang aksi perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Rabu.

Pertama kali bertembung di pentas antarabangsa, Pan-gon juga mahu para pemain menunjukkan karakter paling baik di depan penyokong Harimau Malaya di Terengganu.

“Kami tidak boleh mengikut kehendak peminat yang mahu melihat Malaysia bermain cantik setiap perlawanan setiap masa.

“Kadang-kadang sukar untuk bermain cantik khususnya apabila bertemu lawan yang kuat, yang penting mereka harus bijak dan efektif untuk mendapatkan kemenangan.

“Satu keputusan yang penting berdepan Solomon esok, tetapi apa yang lebih penting adalah menunjukkan prestasi yang baik,” katanya dalam sidang media di Kuala Nerus pada Selasa.

Harimau Malaya kini dalam rangka persiapan sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Piala Asia AFC 2023 di Qatar pada Januari 2024.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan dengan benua Ocenia itu, Pan-gon berkemungkinan menggunakan senjata baharu untuk menentang pasukan Solomon yang berada di ranking ke-134 dunia, berbanding Malaysia pada kedudukan 138.

“Kalau penyerang tak dapat turun, ini peluang kita untuk cuba pemain lain (pada perlawanan malam esok). Mungkin ada senjata baru yang lain,” katanya.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga menggemari suasana dan persekitaran di Terengganu yang disifatkan cukup unik dan menawan.

“Terima kasih Terengganu, kerana menyediakan kemudahan yang baik, padang yang baik dan pemain kami menikmatinya, terima kasih.

“Terengganu juga memiliki bandar yang cantik, makanan yang enak, tetapi kami tidak dapat menerokainya secara keseluruhan.

“Saya harap, kami dapat memberikan kemenangan untuk penyokong dan kami mencuba sebaik mungkin untuk mengekalkan kemenangan moral pasukan,” katanya lagi.

Pan-gon telah menamakan skuad 26 pemain untuk perlawanan persahabatan menentang Solomon serta Papua New Guinea, termasuk trio Selangor Mukhairi Ajmal, Faisal Halim dan Syahir Bashah.

Syahir adalah salah seorang daripada tiga muka baharu dalam skuad senior Malaysia, bersama Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel, yang kesemuanya akan mencari penampilan sulung mereka Rabu ini.

Dengan 52 penampilan senior, Safawi Rasid adalah pemain paling banyak beraksi dalam skuad Harimau Malaya dan bakal mengetuai serangan, sementara dijangkakan empat pemain Matthew Davies, Shahrul Saad, Syahmi Safari dan La’Vere Corbin-Ong berada di benteng pertahanan.