“JANGAN pandang rendah bola sepak kami!” Itu mesej lantang yang disampaikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Romel Morales apabila tampil mempertahankan Harimau Malaya daripada kritikan menghina oleh seorang wartawan Colombia.

Morales, yang kini menjadi watak penting dalam skuad kebangsaan, membidas kenyataan wartawan Colombia, Bambino Quintero, yang sebelum ini memperlekeh keputusan penyerang kelab America de Cali, Rodrigo Holgado untuk menyertai pasukan Malaysia. Lebih melampau, Quintero menyifatkan skuad negara sebagai “tidak wujud” dan langsung tidak layak menerima pemain sepertinya.

Namun Morales tidak berdiam diri. Dalam wawancara bersama stesen radio Super Combo del Deporte, beliau menegaskan bahawa bola sepak Malaysia bukan tandingan yang boleh diremehkan begitu sahaja.

“Bola sepak Malaysia tidak boleh dibandingkan secara terus dengan Colombia. Kami ada laluan, kami ada perjuangan tersendiri,” tegas Morales, menyentuh betapa setiap pasukan nasional punya perjalanan unik dan maruah yang harus dihormati.

Tambahnya lagi, penyertaan Holgado dalam skuad Harimau Malaya adalah perkembangan positif yang mampu memperkuat barisan negara dalam misi lebih besar di pentas antarabangsa.

“Kehadiran Holgado beri kesan positif kepada kita. Ia bantu kita jadi lebih baik dan bersaing di peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Holgado menjadi antara tambahan terbaru dalam barisan pemain naturalisasi negara selepas Hector Hevel dan Gabriel Palmero. Ia sekaligus menggambarkan hala tuju skuad kebangsaan yang semakin terbuka dan progresif dalam membina pasukan bertaraf antarabangsa.

Kenyataan Morales bukan sekadar membela rakan sepasukan, malah satu simbol bahawa Harimau Malaya kini tidak lagi mahu dipandang enteng oleh dunia luar. Malaysia mungkin belum sehebat gergasi dunia, tetapi semangat dan maruahnya tidak pernah hilang.