PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC), salah satu kelab paling bersejarah dalam bola sepak Malaysia, terpaksa akur untuk tidak beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025/2026 selepas gagal memperoleh Lesen Kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Berita itu diumumkan secara rasmi oleh pemilik majoriti kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, menerusi satu kenyataan yang disifatkan sebagai ‘detik paling sukar dalam sejarah moden Sang Kenari’. Kegagalan ini berpunca daripada ketidakpatuhan aspek kewangan yang tidak diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan oleh badan penganjur liga.
“Saya memohon maaf kepada seluruh penyokong, penaja, pemain dan warga kerja KDA FC. Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kelemahan ini,” katanya.
Namun, di sebalik kekecewaan yang melanda, KDA FC tidak terus mengibarkan bendera putih. Sebaliknya, mereka melihat tempoh ini sebagai fasa ‘hibernasi’ satu langkah berani untuk menilai semula hala tuju, memperbaiki struktur dalaman dan merancang kebangkitan yang lebih tersusun.
Kelab turut mengesahkan sedang mempertimbangkan penyertaan di platform lain sebagai langkah alternatif demi memastikan entiti ini terus hidup dalam landskap bola sepak negara. Penyelesaian berkaitan tunggakan kewangan juga sedang dimuktamadkan menerusi sesi rundingan dengan semua pihak yang terkesan.
Langkah ini mungkin pahit untuk ditelan buat penyokong Hijau Kuning, namun semangat yang ditunjukkan dalam kenyataan rasmi itu jelas mencerminkan tekad baharu kelab bahawa kejatuhan bukanlah noktah terakhir, tetapi titik mula untuk bangkit dengan lebih kuat.
Untuk Kedah, inilah masa menanam semula akar. Dan bagi para penyokong sejati, inilah masa untuk terus berdiri teguh bersama Sang Kenari — menanti kicauannya kembali berkumandang di pentas tertinggi.