JURULATIH Skuad B-17 Kebangsaan , Osmera Omaro mengakui kurang keyakinan pada para pemain terutama apabila berhadapan nama besar bola sepak menjadi punca kekalahan 1-4 kepada Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium UiTM pada Jumaat.
Osmera juga mahu lebih banyak pendedahan diberikan kepada barisan pemainnya untuk menambah keyakinan kerana ianya hanya boleh dibentuk menerusi pengalaman bermain di dalam padang.
Malaysia yang dalam rangka persiapan ke Kejohanan Piala Asia AFC B-17 di Bangkok, Thailand minggu hadapan juga dihukum pelawat menerusi kesilapan individu namun Osmera berbangga dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya.
PERSAHABATAN ANTARABANGSA TIER 2
FT: Malaysia B-17 1-4 Arab Saudi B-17
⚽ Dainei Mat Disa 45'+1
⚽ Nawaf Nasser 7', 46', Talal Abubakr 66', Amar Alyuhaiby 84'#internationalfriendly#HarimauMalayaB17 pic.twitter.com/oqA8lWC71C— Flash Sukan (@FlashSukan) June 9, 2023
“Kita kurang percaya diri pada awalnya sama ada mampu untuk bertemu pasukan seperti Arab Saudi sebab itu nampak macam perlahan sahaja tempo. Kemudian selepas dibolosi barulah mereka rasa macam boleh main dengan lawan sebegini dan kita perlu pendedahan di usia seperti ini lebih kerap lagi.
“Saya rasa kita main sangat baik kalau kita rasa mereka satu pasukan terbaik di Asia. Kita boleh kawal mereka, kita boleh buat percubaan. Namun ketidakmatangan pasukan ini menyebabkan gol yang kita bolos adalah berpunca daripada kesalahan-kesalahan individu.
“Tetapi kita harus ingat bahawa pemain-pemain ini apabila kita melihat mereka di lapangan, kita dapati 80 peratus daripada mereka masih belum matang dan dalam proses pengembangan lagi,” katanya selepas perlawanan.

Meskipun tewas dalam dua perlawanan persahabatan, barisan kejurulatihan negara memandang potensi yang ditunjukkan pada hari ini sudah cukup meyakinkan bagi mengharungi peringkat kumpulan Piala Asia B-17.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand, selain Yaman dan Laos dengan pasukan yang berada di kelompok empat terbaik bakal memperolehi slot untuk beraksi di Piala Dunia B-17 2023.
ARTIKEL BERKAITAN: Skuad B-17 kebangsaan tewas lagi aksi persahabatan antarabangsa