PASANGAN beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menafikan sebarang sangkaan bahawa mereka berputus asa sehingga menyerahkan kemenangan kepada Feng Yan Zhe-Huang Dongping dari China.

Menurut Tang Jie berkata, setiap pemain termasuk dia dan Ee Wei mahukan kemenangan dan tidak pernah ada pemain yang mahu tewas.

“Kami cuba mencari idea yang boleh membantu kami menukar situasi perlawanan dan momentum, bukannya berputus asa,” kata Tang Jie.

Ee Wei turut berkongsi pendapat yang sama, sambil memberitahu: “Perkara itu kami tidak mampu mengawalnya… kalau mengatakan kami berputus asa, kami amat sedih kerana dalam gelanggang kami sudah berikan yang terbaik.

“Malah jika kalah sekalipun, kamilah orang yang paling sedih.”

Tambah Ee Wei, selepas mereka dipintas pasangan nombor 1 dunia itu pada set pertama dan kedua, dia tetap memberi semangat kepada pasangannya, jangan lepaskan perlawanan kepada pemain lawan.

Pada perlawanan separuh akhir kedua beregu campuran itu, Tang Jie-Ee Wei akur kepada kekuatan mental Yan Zhe-Dongping dengan kekalahan 19-21, 14-21 dalam tempoh 50 minit.

Kekalahan itu bermakna hasrat untuk melihat sekurang-kurangnya satu wakil beregu campuran negara di final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, tidak menjadi kenyataan selepas satu lagi pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai turut tewas kepada lawan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.