HAPUS sudah harapan melihat sekurang-kurang satu wakil negara beraksi di final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia pemain terakhir turun ke gelanggang separuh akhir, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tunduk kepada beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Wei Chong-Kai Wun gagal meruntuhkan kekentalan gandingan negara tembok besar itu biarpun dibantu sokongan padu penyokong yang membanjiri Axiata Arena apabila tunduk 24-26, 16-21, 15-21 dalam tempoh 77 minit.
Aksi mendebarkan dipamerkan Wei Chong-Tee Kai Wun di set pertama apabila berjaya mengejar mata demi mata biarpun ketinggalan 16-20 namun berjaya mengikat kedudukan di angka 20 sama dan akhirnya menang 26-24 selepas beraksi selama 30 minit.
Bagaimanapun hasrat Wei Chong-Kai Wun untuk menamatkan perlawanan lebih awal tidak kesampaian apabila Bo Yang-Liu Yi berjaya meraih kemenangan untuk membawa perlawanan ke set penentuan.
Wei Chong-Kai Wun cuba bangkit di set ketiga namun lawan berjaya mengejar untuk mengikat kedudukan lapan sama.
Bermula di kedudukan itu Bo Yang-Liu Yi terus menjarakkan mata dan akhirnya menang 21-15.
“Kami tidak kecewa sangat, tetapi dalam masa sama kami juga belum berpuas hati dengan pencapaian di Terbuka Malaysia. Selepas ini masih banyak lagi kejohanan yang perlu kami sertai dan harap dapat perbaiki kekurangan kami menjelang Terbuka India, minggu depan,” katanya.
Tewasnya Wei Chong-Kai Wun bermakna tiada lagi wakil negara di pentas akhir selepas beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut kalah kepada lawan masing-masing.
Untuk rekod kali terakhir beregu lelaki negara menang di kejohanan ini adalah pada 2014 menerusi Goh V Shem-Lim Kim Wah.
Malah tiada pemain negara mara ke final Terbuka Malaysia sejak Datuk Lee Chong Wei muncul juara pada edisi 2018.