AXIATA Arena bergema dengan sorakan padu penyokong tempatan apabila pasangan beregu campuran negara, Loo Bing Kun-Toh Ee Wei mempamerkan semangat juang luar biasa untuk bangkit menewaskan wakil Chinese Taipei, Ming Che Lu-Hung En Tzu, 20-22, 21-18, 21-15 dalam aksi pusingan pertama Malaysia Masters 2025,  pada petang Rabu.

Kemenangan ini bukan sahaja menyuntik moral buat pasangan negara, malah menjadi bukti bagaimana tekanan di gelanggang sendiri mampu diterjemah menjadi tenaga positif apabila dikendalikan dengan jiwa yang tidak mudah mengalah.

Toh Ee Wei mengakui permulaan permainan mereka agak goyah, terutamanya dari segi keyakinan diri. Namun kata-kata semangat dari Bing Kun serta sokongan berterusan penonton di stadium menjadi pemangkin utama kebangkitan mereka.

“Saya rasa agak kurang yakin pada set pertama, tetapi semangat yang diberikan oleh pasukan dan penonton benar-benar membantu kami. Dalam set kedua dan ketiga, kami dapat lihat banyak penyokong bersorak untuk kami, itu beri kami kekuatan untuk bangkit,” katanya.

Bagi Bing Kun, ini merupakan penampilan sulung di kejohanan Malaysia Masters dan beliau mengakui teruja dengan suasana yang begitu luar biasa.

Pasangan beregu campuran negara, Loo Bing Kun-Toh Ee Wei mempamerkan semangat juang luar biasa untuk bangkit menewaskan wakil Chinese Taipei, Ming Che Lu-Hung En Tzu, 20-22, 21-18, 21-15 dalam aksi pusingan pertama Malaysia Masters 2025,  pada petang Rabu. FOTO|ASIANA.MY

“Saya beri semua tenaga saya untuk tamatkan perlawanan ini. Ini kali pertama saya bermain di sini dan saya sangat teruja. Tekanan itu memang ada, tapi apabila masuk gelanggang dan dengar sorakan, semuanya hilang. Yang penting, jangan pernah putus asa, lawan mata demi mata,” katanya penuh semangat.

Pasangan ini turut mengakui bahawa kemenangan mereka bukan kerana persembahan sempurna, tetapi atas dasar keinginan untuk menang yang begitu kuat. Toh menjelaskan bahawa mereka akan terus menilai prestasi sendiri dan membuat persiapan rapi menjelang perlawanan seterusnya menentang satu lagi wakil Taipei.

“Kami akan tonton semula rakaman untuk analisis dan bersedia esok. Kami percaya masih banyak ruang untuk diperbaiki,” ujarnya.