PADANG Sultan Suleiman, Klang bakal menjadi saksi pertarungan dua ‘gergasi’ ragbi korporat apabila Muamalat Bullets dan MBDK Royal Town Warriors turun berentap dalam pentas akhir Corporate Super Rugby (CSR) 2025 Sabtu ini,satu perlawanan bukan sekadar untuk trofi, tetapi penuh nilai simbolik, sejarah dan emosi yang melangkaui sempadan sukan.
Final ini ibarat ulangan skrip klasik yang mula ditulis pada 2022, apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam final edisi sulung dan ketika itu Bullets muncul juara dengan kemenangan 18-13. Tiga tahun berlalu, dan kali ini mereka kembali, menjadikan pertembungan ini antara dua pasukan terbaik, paling konsisten, dan paling lapar untuk mencipta sejarah.

Muamalat Bullets, digelar “JDT ragbi Malaysia” oleh pihak penganjur kerana dominasi dan sistem profesional mereka, hadir sebagai juara bertahan dua kali yang kini memburu kejuaraan ketiga berturut-turut. Dengan barisan pemain elit serta pengalaman luas dalam final, mereka tampil sebagai pilihan ramai.
Namun bagi Adam Abdullah selaku Penolong Pengurus Pasukan, tumpuan mereka kekal pada satu matlamat jelas menamatkan musim dengan kejayaan hattrick yang akan memahat nama mereka sebagai kuasa besar ragbi korporat tanah air.

Namun Warriors bukan pasukan tempelan. Jika Bullets punya struktur dan prestij, Warriors punya semangat tempatan yang membara dan komuniti Klang yang teguh menyokong. Mereka membawa misi tertangguh untuk menebus kekalahan lalu, dan menjadikan final ini sebagai medan kebangkitan.
“Kami bertarung bukan hanya untuk menang, tetapi untuk maruah Klang,” tegas Pengurus Pasukan Warriors, Shahizam Tukiran yang yakin aura tuan rumah akan menjadi senjata utama mereka.

Dengan ganjaran RM15,000 untuk juara dan RM7,000 untuk naib juara, perlawanan Sabtu ini bukan sahaja menjadi penutup musim, tetapi juga batu tanda kepada pertumbuhan pesat ragbi dalam sektor korporat. Sama ada Warriors akhirnya berjaya menamatkan penguasaan Bullets atau Bullets kekal unggul dengan kejuaraan ketiga, jawapannya akan terjawab di Klang.
PIX:COPORATE SUPER RUGBY