SITUASI membabitkan Harimau Malaya tidak boleh disamakan dengan kes yang pernah menimpa Timor Leste sebelum ini kerana kedua-duanya berlaku dalam keadaan yang berbeza.

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John menegaskan perbezaan utama antara kedua-dua kes itu adalah dari segi masa kesalahan tersebut dikesan.

Timor-Leste sebelum ini dibatalkan penyertaannya daripada kelayakan Piala Asia 2023 oleh AFC akibat kesalahan penggunaan pemain yang tidak layak. Kes terbabit berpunca daripada pelanggaran peraturan pertandingan AFC.

Menurutnya, kes Timor Leste hanya ditemui selepas sesuatu kejohanan selesai, sekali gus menyebabkan tindakan disiplin yang dikenakan tidak boleh dilaksanakan secara retroaktif.

“Dalam kes Timor Leste, pertandingan sudah habis baru kesalahan ditemui. Bila pertandingan sudah habis dan baru jumpa dokumen palsu, anda tidak boleh hukum ke belakang.

“Jadi hukuman yang boleh dibuat adalah untuk pertandingan akan datang, sebab itu Timor Leste dilarang menyertai edisi seterusnya,” katanya.

Sebaliknya, Windsor menjelaskan situasi membabitkan Harimau Malaya berlaku ketika pertandingan masih berjalan, sekali gus menjadikan kes tersebut berada dalam konteks yang berbeza.

Katanya, faktor itu menyebabkan kes berkenaan perlu dinilai secara berasingan oleh Jawatankuasa Disiplin AFC berdasarkan fakta dan peraturan yang ada.

“Situasi Harimau Malaya berbeza kerana perkara ini ditemui ketika pertandingan sedang berlangsung. Jadi tidak boleh bandingkan kedua-dua kes itu,” katanya.

Beliau turut menegaskan setiap keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin perlu mematuhi peruntukan dalam Kod Tatatertib AFC.

Menurutnya, Artikel 25 dan Artikel 56 dalam kod tersebut dengan jelas menetapkan jenis keputusan serta hukuman yang boleh diputuskan oleh jawatankuasa berkenaan.

“Jawatankuasa Disiplin hanya boleh membuat keputusan berdasarkan kuasa yang diberikan kepada mereka di bawah Kod Tatatertib. Tidak lebih dan tidak kurang,” katanya.

Windsor menambah, sebarang keputusan yang dibuat juga perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana ia masih boleh dicabar melalui proses rayuan.

Katanya, pihak yang tidak berpuas hati boleh membawa kes itu ke Jawatankuasa Rayuan sebelum membuat rayuan lanjut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika perlu.

“Jika hukuman yang dikenakan terlalu berat atau tidak mengikut peraturan, ia boleh dicabar dalam proses rayuan dan juga di CAS,” katanya.