“BERI muka baharu kendali skuad berbasikal kebangsaan ke temasya Sukan Sea Kemboja, mengatur strategi mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Hanoi.”

Legenda sukan berbasikal, Datuk Ng Joo Ngan mennyuarakan hasratnya itu, dalam masa sama mahu pingat emas dipertahankan.

Beliau berkata, strategi berbeza diperlukan dalam usaha menuai emas di Kemboja, kerana pasukan dari negara lain sudah menghidu taktik lama.

“Tahun lalu, saya memberitahu MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk membantu pasukan kebangsaan dan memastikan pasukan TSG (Terengganu Cycling Team) dan Sapura bergabung. Mereka sudah bergabung dan membawa pulang emas.

“Jadi tahun ini, saya belum pasti lagi (bersama skuad negara di Kemboja) dan kalau boleh mahu memberikan peluang kepada jurulatih muda untuk mengendali mereka. Apapun, kita harus membawa pulang pingat emas dan kekalkan prestasi.

“Saya adalah orang lama, kalau boleh saya tak mahu lagi… beri peluang kepada orang muda (jurulatih) untuk menimba pengalaman di sana.

“Ini kerana kamu (jurulatih muda) perlu tahu kenapa tak boleh menang ataupun kalah perlumbaan. Jadi jurulatih muda perlu belajar daripada semua ini,” kata Joo Ngan.

Datuk Ng Joo Ngan mahu jurulatih muda kendali skuad berbasikal kebangsaan ke Kemboja.

Pada temasya Sukan Sea Hanoi, skuad berbasikal negara berjaya meraih satu emas, dua perak dan dua gangsa secara keseluruhan bagi acara lebuh raya.

Emas diraih Nur Aiman Mohd Zariff dalam acara lebuhraya lelaki manakala Nur Aisyah Mohamad Zubir membawa pulang perak dalam acara lebuhraya wanita sebelum membantu pasukan lebuhraya wanita disertai Nor Aisyah Munirah Chek Ramli, Siti Nur Adibah Akma, Jupha Somnet meraih kilauan pingat sama.

Nur Aisyah turut meraih gangsa dalam acara kriterium wanita manakala Nur Aiman Rosli menghadiahkan kilauan pingat sama dalam acara ujian masa lelaki.

“Sebenarnya kali ini tampak lebih sukar untuk menang kerana mereka sudah tahu (strategi) Malaysia. Sebelum ini (Hanoi), semua negara kata ‘orang lama ini datang semula’.

“Jadi mereka (skuad negara) tukar strategi untuk menang kerana kita juga ada pelumba yang kuat,” katanya.