SEMANGAT pembangunan bola sepak akar umbi terus diperkasakan dengan penganjuran Kem Bolasepak Train Like A Pro 2025, yang berlangsung dari 9 hingga 11 Februari di Padang 3K Subang Jaya dan Hotel Tanjong Subang.
Program intensif ini bertujuan membimbing pemain muda dalam meningkatkan kemahiran serta memahami selok-belok bola sepak profesional.
Setiausaha Kelab Bola Sepak Zon Revolusi (KBZR), Md Norzalizan Mahamad, memaklumkan bahawa kem ini berjaya menarik penyertaan seramai 23 pemain muda, terdiri daripada 20 peserta lelaki dan tiga peserta perempuan berusia antara 13 hingga 17 tahun dari pelbagai kelab serta akademi bola sepak di seluruh negara.
Sepanjang tiga hari dua malam, peserta didedahkan kepada sesi latihan intensif yang dikendalikan oleh tujuh jurulatih berpengalaman, termasuk Coach Zaidi, Coach Azizan, Coach Azmeer, Coach Azhar, Coach Azhar Dol, Coach Faraliana, dan Coach Apexx. Mereka membimbing pemain dari tahap asas hingga lanjutan dalam aspek teknikal, taktikal, dan strategi permainan.

Selain sesi latihan di padang, peserta turut berpeluang mendengar ceramah daripada pakar-pakar dalam bidang bola sepak, yang menekankan aspek mental, disiplin, dan pembangunan karakter seorang pemain profesional.
Ketua jurulatih KBZR, Noor Zaidi Rohmat, menzahirkan rasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang kem berlangsung.
“Kami melihat semangat serta sikap ingin tahu yang tinggi dalam kalangan peserta, terutama dalam menguasai asas kemahiran teknikal dan pemahaman taktikal permainan. Mereka diberikan pendedahan menyeluruh mengenai konsep asas menyerang (attacking), bertahan (defending), dan transisi permainan (transition),” katanya.
Melalui pendekatan latihan dalam kumpulan kecil, setiap peserta menerima bimbingan secara lebih fokus dan mendalam, membolehkan mereka meningkatkan kemahiran individu serta membina kerjasama dalam pasukan.
Peluang Sama Rata untuk SemuaKem ini merupakan hasil usahasama antara KBZR dan dua entiti korporat, Asiana.my serta Standard Fumigation, yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan program ini.

Selain itu, tujuh peserta yang layak telah menerima tajaan penuh untuk menyertai kem ini, hasil sokongan pihak individu dan swasta. Ini merupakan langkah positif dalam memastikan semua bakat muda, termasuk mereka yang kurang berkemampuan, mendapat peluang sama rata untuk mengembangkan potensi mereka.
“Melihat kegembiraan dan semangat peserta, kami yakin pengalaman dan ilmu yang diperoleh di kem ini akan dibawa kembali ke kelab dan komuniti masing-masing. Ini bukan sekadar latihan, tetapi sebuah platform untuk membentuk generasi pemain bola sepak yang lebih berkualiti,” tambah Noor Zaidi.
Dengan penganjuran program seperti Kem Bolasepak Train Like A Pro 2025, KBZR terus komited dalam merancakkan pembangunan akar umbi bola sepak negara, memastikan lebih ramai bakat muda dapat digilap ke tahap yang lebih tinggi.