SEJARAH baru bakal dibukukan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) jika berjaya menyapu bersih empat kejuaraan semusim kali ini.

Kelab dari selatan tanah air itu di posisi tepat melakukan memandangkan berjaya mara ke pentas akhir TM Piala Malaysia selepas mudah menjinakkan Sabah FC di laluan separuh akhir kedua pada Ahad malam.

“Sangat penting buat JDT dan ia kemungkinan terbaik kali ini. JDT kelab yang semakin berkembang, dan bertambah baik.

“Jadi mendapatkan empat trofi untuk kelab penting untuk kami,” kata jurulatih JDT, Hector Bidoglio yang bakal bertemu Selangor FC atau Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

JDT kini di landasan memahat sejarah menjadi pasukan pertama bergelar juara quadruple (empat trofi) selepas telah memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.