PRESTASI cemerlang tiga kelab negara beraksi di pentas Asia – Johor Darul Ta’zim, Sabah FC dan Terengganu FC membantu menaikkan ranking MA Malaysia sekaligus mengesahkan dua tiket ke kejohanan kelab Asia untuk musim 2025-26.
Malaysia berjaya menambah 6.000 mata untuk menjadikan mata keseluruhan kepada 31.118 mata untuk kekal di kedudukan kelima Asia Timur dan naik satu anak tangga ke kedudukan ke-11 keseluruhan mengatasi Jordan yang turun ke tangga ke-13 dengan 29.995 mata.
Meskipun tidak berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC, JDT menjadi penyumbang terbesar mata MA Malaysia musim ini dengan 9.000 mata hasil tiga kemenangan dalam Kumpulan I menewaskan BG Pathum dua kali dan Ulsan Hyundai.
Sabah FC yang menjuarai Kumpulan H, Piala AFC pula menyumbang 5.000 mata hasil empat kemenangan ke atas wakil Indonesia PSM Makassar, dua kali ke atas kelab Singapura, Hougang United dan kelab Vietnam, Haiphong FC.
Sementara satu lagi kelab, Terengganu FC yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan G, Piala AFC menyumbang 4.000 mata hasil tiga kemenangan ke atas Central Coast Mariners dari Australia, Stallion Laguna dari Filipina dan Bali United dari Indonesia serta mencatat tiga keputusan seri.
Malaysia masih berpeluang menambah mata MA dengan Sabah FC akan meneruskan perjuangan di peringkat semi final zonal Asean bertemu kelab Australia, Macarthur FC pada Februari 2024 dan ini akan menjadi pertemuan yang menarik kerana Malaysia diekori rapat Australia di tangga keenam Zon Timur dengan 30.888 mata terkumpul.
Menerusi 6.000 mata yang diperolehi secara purata musim ini, Malaysia menempah 1 slot automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Elite dan satu lagi slot ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 musim 2025-26.