PEMBANGUNAN peringkat belia juga menjadi fokus utama skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi menghadapi saingan baharu Liga Malaysia musim depan.
Bagi tujuan itu, pemain daripada Algeria dan Kosovo dikatakan bakal diuji pasukan dari utara dalam sesi latihan percubaan kelak.
Perkongsian itu didedahkan di laman Facebook oleh pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang menyatakan Zakariya (Zack) adalah seorang pemain muda bola sepak di Algeria yang ingin mencuba peluang mewakili Kedah B-23.
“Sembang-sembang dengan pemain bola muda dari Algeria yang berusia 22 tahun. Bermain di kelab di Algeria dalam posisi 8 dan 10. Agak multi tasking.
“Dia berada di Malaysia untuk mencuba bakat di Kedah bersama pasukan bawah 23 (B-23) tahun. Dia anak saudara kawan baik saya dari Algeria.
“Teruja dengan semangat gigih dia untuk mencuba bakat untuk dipertimbangkan untuk pasukan kedua Kedah.
“Dia akan berada di Kedah di awal Januari 2023 selama beberapa hari,” tulis Mohd Daud pada Rabu malam yang kagum dengan personaliti Zack yang tidak merokok serta miliki keazaman tinggi untuk berjaya.
Selain Zack, beliau menyatakan terdapat seorang lagi adik kawannya dari Kosovo yang akan berada di Kedah di awal Januari 2023 untuk diuji bakat bersama KDA FC bagi pasukan kedua.
“Ini adalah pemain-pemain muda yang sudah bermain di kelab di negara masing-masing.
“Mereka sanggup datang ke Malaysia dan Kedah semata-mata untuk memperlihatkan bakat dan kemahiran mereka. Hebat,” katanya yang juga tokoh usahawan.
ARTIKEL BERKAITAN : “Sang Kenari akan bermula dari tanah rata untuk mendaki tanah tinggi” – Pemilik KDA FC