INSIDEN pada minit ke-10 ketika aksi Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan sikap semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan oleh pasukan medik kedua-dua pasukan.

Hasil satu sepakan sudut, bola dicabar oleh Bergson Da Silva sambil cuba dihalang penjaga gol Selangor Sam Somerville dan Richmond Boakye bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Malang buat Boakye apabila dia berlanggar dengan Sam sehingga rebah di padang dengan Bergson memperlihatkan sikap tanggungjawab apabila datang memeriksa keadaan Boakye yang kelihatan terbaring tidak bergerak.

Yazan Al-Arab tidak mempedulikan keadaan perlawanan yang sedang berlangsung dan terus mendesak pengadil untuk menghentikan permainan dan memanggil pasukan medik Selangor FC untuk melihat sendiri keadaan Boayke yang membimbangkan.

Melihat keadaan yang bahaya itu, pasukan medik JDT juga dengan pantas meluru ke padang untuk memberikan rawatan segera dan mereka dapat melihat Boayke dalam keadaaan yang kurang baik akibat hentakan yang berlaku pada kepala.

Hilang segala persengketaan antara kedua-dua pasukan sebaliknya fokus hanya tertumpu kepada Boayke bagi memastikan dia stabil dan tidak mengalami masalah yang lebih kritikal malahan alat bantuan pernafasan juga dibawa masuk ke padang oleh pihak medik yang ada di stadium.

Selepas beberapa minit, Boayke disahkan tidak mengalami kecederaan yang teruk dan dia bangun sambil disambut tepukan gemuruh daripada penyokong yang memuji tindakan pasukan medik kedua-dua pasukan yang bertindak pantas.

Boayke namun tidak dapat meneruskan perlawanan dan akhirnya terpaksa dikeluarkan pada minit ke-18 sebagai langkah pencegahan bagi memastikan dia tidak mengalami masalah kecederaan susulan.