
Tukar rumput baharu.. “TMJ tak faham ada pihak bagi alasan mahal”

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak memahami mengapa ada sesetengah pihak yang mengatakan penyelenggaraan padang yang mahal sebagai alasan mengapa tidak mahu menukar rumput yang ada di stadium mereka.
Ini kerana pada pandangannya, ianya tidak masuk akal mengapa alasan itu digunakan kerana kos penyelenggaraan padang hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan jumlah perbelanjaan setiap pasukan pada setiap musim.
Tunku Ismail berkata demikian ketika ditanya media berkaitan perkara ini pada sidang media Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Tunku Ismail menyaksikan penyempurnaan penggantian rumput Stadium Nasional Bukit Jalil
“Saya pun tidak faham mengapa. Antara faktor mungkin mereka tidak tahu apa-apa dan tidak mempunyai minat dalam bola sepak atau mereka mempunyai ada agenda jangka panjang yang lain. Negara lain beri keutamaan kepada padang kerana ianya mencerminkan pengurusan pasukan bola sepak itu.
“Penyelenggaraan bukan satu alasan. Ini kerana bajet paling rendah dalam Liga Super untuk pasukan musim ini adalah RM8 juta. Penyelenggaraan tidak sampai RM300,000 setahun jadi tidak nampak logik kenapa pasukan tidak boleh lakukannya. Malah ada kelab yang mendapat dana dari RM20 hingga 30 juta dari kerajaan negeri jadi ianya tidak masuk akal bagi saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi berkata kerja-kerja penyelenggaraan padang Stadium Nasional akan bermula pada 1 April 2023 dan dijangka selesai pada akhir September atau awal Oktober 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Faidz Sanusi
Beliau juga menyatakan sebuah tapak semaian rumput Zeon Zoysia sebesar 850m² telah dibina bersebelahan Stadium Hoki Nasional untuk memudahkan kerja penyelenggaraan terutama untuk menukar padang yang rosak.
KBS dan PSM telah mengambil keputusan untuk menggantikan rumput sedia ada kepada jenis Zeon Zoysia dan yakin penggunaan rumput ini mampu menyelesaikan isu kualiti padang di Stadium Nasional selain jadual penganjuran acara lain akan dirancang dengan lebih teliti selari dengan SOP penyelenggaraan padang.