PASUKAN basikal bukit, Ayam Gepuk Pak Gembus (AGPG) Cycling Team mahu menjadi lubuk melahirkan ramai pelumba basikal bukit bukit kepada negara, pada masa hadapan.
Pengasasnya, Nor Effandy Rosli berkongsi hasrat itu, kerana mahu melihat lebih ramai pelumba negara mencipta nama di persada antarabangsa.
“Tujuan utama penubuhan pasukan ini adalah untuk melahirkan bakat-bakat baharu negara dalam sukan Kejohanan Berbasikal Bukit (MTB). Saya cukup gembira kerana dengan adanya tajaan daripada syarikat SA Sport yang menaja lima basikal Orbea ini dapat memberi kelegaan kepada pelumba kita.
“Kita tahu untuk memiliki basikal profesional ini bukan murah dan dengan adanya tajaan daripada Ayam Gepuk Pak Gembus, Orbea, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) seperti ini dapat menampung perbelanjaan atlet kita.

“Saya harap lebih banyak penaja-penaja luar dapat bersama kita kerana dengan adanya sokongan tidak mustahil kita mampu menghantar lebih ramai atlet-atlet muda ini bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan tajaan basikal daripada Orbea di Sungai Buloh.
Hadir sama, Pengurus Cawangan SA Sport Setia Alam yang menaja basikal, Azril Padli dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ayam Gepuk Pak Gembus, Mohd Firdaus Abd Wahid.
Effandy berkata, penajaan basikal itu menaikkan semangat semua 18 pelumba mudanya dari 10 tahun hingga 19 tahun yang dilihat bakal menempah nama di pentas dunia pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Nor Effandy turut mempersiapkan pelumba muda yang juga anaknya, Muhamad Effan Wafiy yang terpilih untuk mewakili negara bersaing di pentas antarabangsa terutama menjelang Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia (ACC MTB 2023) pada 26 hingga 29 Oktober di Panchkula, Kerala, India.