PEMAIN nombor 71 dunia, Aira Azman meneruskan perburuan gelaran bersama dua lagi wakil negara, apabila melangkah ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British.

Aira, 18, memburu gelaran kedua Remaja Terbuka British selepas memenanginya bagi kategori bawah 15 tahun (B-15) , apabila memenangi perlawanan suku akhir ke atas Asia Harris dari England, dalam kategori perempuan B-19, awal pagi Sabtu.

Begitupun, pilihan ketiga-empat kejohanan itu tidak mendapat laluan mudah, apabila dipaksa bermain empat set sebelum mencapai kemenangan 11-8, 11-6, 10-12, 11-3.

Pemain berasal dari Kedah itu bermula dengan baik, mendahului 2-0 sebelum Harris merampas set ketiga 12-10.

Menyedari tidak boleh memberi ruang kepada pemain England itu, Aira meningkatkan tempo dan menamtkan perlawanan set keempat dengan kemenangan 11-3.

Di separuh akhir esok, Aira muncul satu-satunya pemain dari Malaysia manakala tiga lagi slot diisi pemain Mesir.

Justeru, lawan Aira pastinya dari Mesir, Fayrouz Abouelkheir yang mengatasi rakan senegaranya Zeina Zeineldin 11-4, 11-5, 11-2.

M Nickhileswar (kanan) berkerja keras untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British.

Negara turut mempunyai wakil ke separuh akhir perempuan B-13 apabila Jinooreeka Ning tidak berdepan masalah mengatasi wakil Kanada, Joelle Kim 11-5, 11-6, 11-5.

Seperti Aira, pemain berasal dari Ipoh itu akan berdepan pemain Mesir, Malika Taymour di separh akhir.

Begitupun, agak mengeewakan apabila dua lagi wakil perempuan B-15 negara, Whitney Isabelle Wilson dan Harleein Tan kandas di suku akhir.

Whitney yang diletak selaku pilihan kedua, tewas dalam pertarungan empat set dengan pemain Mesir, Ruqayya Salem sebelum tewas 9-11, 9-11, 11-5, 6-11.

Manakala Harleein yang menjuarai kategori perempuan B-11 pada eidsi 2020, tunduk kepada pilihan utama dari India, Anahat Singh 7-11, 0-11, 2-11.

Sementara itu, satu-satunya wakil lelaki negara di separuh akhir esok, M Nickhileswar yang membawa cabaran lelaki B-15.

Nickhileswar yang diletakkan selaku pilihan utama, memburu gelaran kedua British selepas memenangi B-11 pada 2019.

Keazamannya terbukti apabila tidak mencicirkan sebarang set ketika menang ke atas pemain tuan rumah, Ismail Khalil 11-8, 11-7, 11-8.

Pemain berasal dari Pulau Pinang itu menempah pertemuan dengan pemain Mesir, Seif Refaay di separuh akhir nanti, selepas pilihan ketiga itu menyingkirkan pemain Amerika Syarikat (AS) Jack Elriani 12-10, 11-9, 11-7.

Penolong ketua jurulatih kebangsaan, Andrew Cross, memberi tunjuk ajar kepada pemain remaja negara di Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British.

Pembantu ketua jurulatih kebangsaan, Andrew Cross berkata, Aira bermain dengan baik setakat ini namun tugas di separuh akhir bukannya mudah.

“Di separuh akhir, perlawanan pasti sengit dan sukar buat Aira kerana Fayrouz bermain degnan sangat cemerlang sepanjang minggu ini.

“Nickhileswar juga bermain cemerlang dan sangat berdisipling di gelanggang. Saya rasa minggu ini adalah prestasi terbaiknya,” kata Cross.