KELAB gergasi Jerman, Borussia Dortmund yang dalam rangka perlawanan persahabatan antarabangsa di Asia Tenggara memperolehi kemenangan kedua selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-1 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Dortmund sebelum ini membelasah kelab Singapura, Lion City Sailors 7-2.
JDT yang tidak sampai 48 jam menjuarai Piala Malaysia turun dengan kesebelasan yang hampir sama dan dilihat agak bergelut pada awal babak pertama dan ketinggalan 2-0 pada 30 minit pertama.
Namun beberapa pertukaran taktikal oleh Hector Bidoglio dengan memasukkan Safiq Rahim dilihat merubah permainan JDT dan akhirnya mendapat gol pertama menerusi MVP, Arif Aiman pada penghujung babak pertama.

Arif Aiman berjaya menjaringkan gol buat JDT
Jaringan tersebut nyata menggembirakan 33,579 penyokong yang hadir dengan Harimau Selatan dilihat dapat mengimbangi permainan jaguh Jerman itu dengan beberapa percubaan berbahaya.
Penjaga gol Dortmund Alexander Meyer berjaya menggagalkan dua peluang terbaik JDT untuk menjaringkan gol menerusi Akhyar Rashid dan Moussa Sidibe pada pertengahan separuh masa kedua.
Dalam pada JDT ghairah menyerang, Dortmund menghukum Harimau Selatan dengan dua lagi gol namun ianya tetap tidak mematahkan semangat para pemain JDT untuk terus menyerang.
Pujian harus diberikan kepada pertahanan tengah, Feroz Baharudin yang banyak mematahkan serangan-serangan bahaya Dortmund sekaligus menjelaskan mengapa dia kini menjadi pilihan jurulatih.
Meskipun tewas 1-4, namun banyak pengajaran yang diperolehi JDT apabila berhadapan barisan bintang dari Bundesliga ini dalam rangka memantapkan lagi pasukan untuk menghadapi saingan liga musim hadapan.