PASUKAN Kelantan Darul Naim FC yang dilihat rancak merekrut pemain tempatan dan import adalah demi mempersiapkan pasukan menjelang saingan bola sepak Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.
Ketua jurulatih, Park Jaehong pula masih giat meneliti dan menganalisa bakat-bakat yang terdapat pada anak buahnya, sebelum membuat keputusan barisan kesebelasan utama, terutama bagi aksi pramusim melawan Sri Pahang pada Rabu.
Tambah pengendali kelahiran Korea Selatan itu, dirinya sedar bahawa pasukan pelawat antara kelab yang konsisten pada musim lalu dan pertembungan pramusim ini dapat menjadi satu perlawanan kompetitif sebelum sepak mula berlangsung pada Mei hadapan.

Antara pemain baharu Kelantan Darul Naim FC musim 2024-2025.
“Kami belum memikirkan percaturan untuk aksi pada Rabu kerana saya mahu melihat dan menganalisis semua pemain agar mereka betul-betul dalam keadaan bersedia.
“Barisan kejurulatihan juga tidak mahu terburu-buru memandangkan kami baru sahaja melalui satu perlawanan pramusim sahaja berbanding Sri Pahang FC.
“Pihak kami juga sedar bahawa lawan kita ini satu kelab yang agak cemerlang musim lepas, mereka juga telah mengatur banyak aksi persahabatan sempena pra musim ketika ini dan kami gembira kerana bakal menerima satu kelab yang baik untuk persiapan kami,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Kelantan Darul Naim FC telah mengambil khidmat Park Jaehong sebagai ketua jurulatih baharu, dan aksi antara Sang Kijang Emas bersama Tok Gajah adalah sentuhan pertama perlawanan buat beliau.