DUNIA hoki tanah air diselubungi duka apabila legenda negara, R. Ramakrishnan menghembuskan nafas terakhir hari ini akibat serangan jantung. Pemergian bekas pemain kebangsaan itu menjadi satu kehilangan besar buat arena hoki Malaysia.

Ramakrishnan, yang dikenali sebagai seorang halfback yang tenang dan berdisiplin, pernah mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Munich 1972 selain menjadi tonggak penting skuad negara pada Piala Dunia Hoki 1975.

Nama beliau terpahat dalam sejarah selepas mempamerkan aksi cemerlang di Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur, khususnya ketika membantu mengekang trio serangan berbahaya India dalam perlawanan separuh akhir yang kekal sebagai antara detik paling dramatik dalam sejarah hoki negara. Persembahan berwibawa beliau ketika itu terus dikenang sebagai simbol keazaman dan kecerdikan taktikal pemain Malaysia era 1970-an.

R.Ramakrishnan (hujung kiri) bersama rakan sepasukan yang berjuang bersama ketika Piala Dunia Hoki 1975 bergambar bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sepanjang kariernya, Ramakrishnan dikenali sebagai pemain yang jarang menonjolkan diri, namun keberkesanan dan kepintarannya membaca permainan menjadikan beliau antara nadi penting pasukan kebangsaan ketika itu.

Sumbangan beliau bukan sahaja terhad di atas padang, malah legasinya turut memberi inspirasi kepada generasi pemain selepasnya yang menjadikan era 1970-an sebagai rujukan kebangkitan hoki Malaysia di pentas antarabangsa.

Pemergian Ramakrishnan pastinya dirasai oleh rakan sepasukan, komuniti hoki dan seluruh peminat sukan tanah air yang membesar dengan kisah kehebatan beliau.

Mendiang akan terus dikenang atas jasa dan sumbangan besarnya kepada sukan hoki negara, yang kekal sebagai sebahagian daripada sejarah gemilang Malaysia di arena antarabangsa.

Sumber Gambar: Free Malaysia Today (FMT) & ShekhinahPR