DESAS-desus mengenai pemain tengah Burnley FC, Josh Brownhill, yang kononnya memiliki darah kacukan Malaysia akhirnya terjawab apabila beliau tampil membuat kenyataan rasmi di Instagram pada pagi Ahad.

Dalam hantaran Instagram Story miliknya, Brownhill menafikan semua spekulasi tersebut dan menegaskan bahawa dia adalah warganegara England.

“Saya hanya mahu menjelaskan tentang khabar angin yang tersebar. Malangnya, satu-satunya kewarganegaraan saya adalah England dan saya bukan rakyat Malaysia seperti yang difikirkan sesetengah orang.

“Saya tidak pasti bagaimana semua ini bermula, tetapi saya mahu meluruskan perkara ini. Terima kasih atas sokongan semua.” tulis Brownhill.

Kenyataan rasmi pemain tengah Burnley FC, Josh Brownhill, di Instagram pada pagi Ahad.

Spekulasi ini mendapat perhatian luas selepas sebuah akaun media sosial yang dikenali sebagai @Frfuturetalent menyebarkan dakwaan tidak berasas bahawa Josh Brownhill merupakan pemain kacukan Malaysia.

Khabar angin ini mencetuskan keghairahan di kalangan peminat bola sepak tempatan yang berharap beliau dapat menyarung jersi Harimau Malaya sebagai pemain warisan.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut mengambil inisiatif untuk menghubungi Brownhill secara peribadi melalui Instagram bagi mendapatkan kepastian.

Perbualan antara Tunku Ismail dan Brownhill dikongsi kepada umum, di mana Tunku Ismail secara mesra mengucapkan “Merry Christmas” dan meminta beliau mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengakhiri spekulasi tersebut.

“Hi Josh. Merry Christmas. Saya harap anda dan keluarga sihat. Saya rasa anda perlu membuat kenyataan bahawa anda bukan rakyat Malaysia.

“Negara saya sangat teruja tentang anda dan merayu kepada saya untuk mendapatkan anda bermain untuk Malaysia. Ia akan membantu jika anda boleh menjelaskan perkara ini. Maaf mengganggu. Selamat maju jaya dan terima kasih.”

Brownhill kemudian membalas, “Hi mate! Merry Christmas to you too! Saya memang bercadang untuk mengeluarkan kenyataan ini sejak lama tetapi rasanya sekarang masa yang sesuai. Saya tidak pasti bagaimana semua ini bermula. Terima kasih atas mesej anda.”

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut mengambil inisiatif untuk menghubungi Brownhill secara peribadi melalui Instagram bagi mendapatkan kepastian.

Kenyataan rasmi Brownhill dan langkah Tunku Ismail untuk meluruskan isu ini menjadi penamat kepada kisah yang pada awalnya tampak sensasi tetapi ternyata tidak berasas.

Scam Akaun Media Sosial: Jangan Mudah Percaya

Insiden ini seharusnya menjadi pengajaran buat peminat bola sepak tanah air agar lebih berhati-hati dengan dakwaan tidak sahih yang disebarkan oleh akaun-akaun media sosial seperti Frfuturetalent.

Akaun ini sebelum ini dikenali kerana sering mencetuskan sensasi dengan “penemuan” pemain warisan Malaysia yang dikatakan berkualiti tinggi, tetapi hampir semuanya tidak mempunyai bukti kukuh.

Melihat sejarah bola sepak tempatan, pemain warisan Malaysia berkualiti tinggi seperti Dion Cools,  Matthew Davies, Brendan Gan, Declan Lambert, atau Junior Eldstal bukan mudah ditemui.

Dion Cools antara pemain warisan yang bermain buat Harimau Malaya.

Malah, JDT sendiri yang memiliki pasukan pencarian bakat profesional hanya berjaya membawa masuk Natxo Insa dari Celta Vigo sebagai pemain warisan berkualiti tinggi sepanjang 11 tahun mereka dalam arena bola sepak.

Logiknya, jika pencarian pemain warisan berkualiti tinggi semudah dakwaan akaun seperti Frfuturetalent, JDT dan kelab-kelab lain di Malaysia sudah lama mengisi slot pemain warisan dengan nama besar.

Tetapi hakikatnya, proses mengenal pasti pemain memerlukan usaha yang sangat teliti, termasuk menyemak dokumen asal seperti sijil kelahiran nenek moyang pemain, sesuatu yang sukar dilakukan walaupun dengan bantuan teknologi moden.

Kesimpulan kisah ini adalah satu peringatan jelas untuk semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam menerima maklumat tanpa sumber yang sahih.

Spekulasi palsu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, tetapi juga boleh mencemarkan nama baik individu yang terlibat.

Dalam era digital ini, kepantasan menyebar maklumat tidak boleh mengatasi kepentingan ketepatan.