SKUAD futsal Harimau Malaya turun menjalani sesi latihan terakhir di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya, pagi Selasa sebelum berlepas ke Fergana, Uzbekistan, malam ini.

Pasukan kendalian Rakphol Sainetngam itu dikumpulkan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 bermula dari 7 hingga 11 Oktober 2023.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut hadir menyaksikan sesi latihan tersebut bagi memberikan kata-kata semangat dan motivasi.

“Dah lama kita tak layak ke pusingan akhir. Kali terakhir pada edisi 2018 di Taiwan. Jadi apa yang saya nampak, dengan set pemain yang ada kali ini serta corak latihan dan tunjuk ajar ketua jurulatih baharu, kita boleh layak.

“Walaupun Uzbekistan dan Iraq di ranking 25 dan 44 dunia, berbanding Malaysia di ranking 77, tak mustahil kita boleh mencipta kejutan. Tapi jangan pandang rendah Kemboja biarpun mereka di ranking 122.

“Semua pemain perlu tetapkan dalam fikiran yang kita mahu menang ketiga-tiga perlawanan ini dan layak ke pusingan akhir. Selain prestasi di atas gelanggang, jangan lupa solat dan berdoa supaya dipermudahkan segala urusan,” kata Hamidin.

Skuad futsal Harimau Malaya akan memulakan kempen kelayakan itu dengan menentang Iraq pada 7 Oktober 2023, Uzbekistan pada 9 Oktober dan Kemboja pada11 Oktober 2023.

Kesemua perlawanan berlangsung di Samo Sports Complex, Fergana.