HANYA kemenangan menjadi sasaran skuad Harimau Malaya, apabila turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi sulung kelayakan Piala Asia Futsal 2026, di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, pada Sabtu.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Rakphol Sainetngam berkata meskipun kekuatan kedua-dua pasukan hampir setara, barisan pemain negara sudah bersedia sepenuhnya menggempur lawan di ranking ke-103 dunia itu seterusnya memulakan kempen dengan langkah kanan.

“Penting untuk kami bermula dengan tiga mata, sudah tentu ia akan menjadi penentu kepada peluang Malaysia.
Secara jujur, ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit, ibarat aksi final, lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan cukup arif dengan permainan masing-masing.

“Begitupun, pemain telah bekerja keras untuk kempen kelayakan ini dan saya dapat lihat keghairahan mereka. Masing-masing sudah sedia berjuang dan berikan yang terbaik,” kata Rakphol.


Menurut Rakphol, latihan intensif dan dua aksi persahabatan tertutup di Bangkok baru-baru ini turut memberi gambaran lebih jelas kepadanya mengenai kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kami telah mengenalpasti kekurangan, membuat penambahbaikan, jadi harapan saya akhirnya dapatlah tuai hasil yang diinginkan. Ini bukan usaha seminggu dua, tetapi hampir dua tahun saya bersama pasukan. Walaupun bermain baik, kita belum mendapat hasil yang diinginkan.

“Jadi, semoga prestasi mereka memuncak di kempen kelayakan ini, ditambah dengan sorakan penyokong di SUKPA yang pastinya dapat membangkitkan lagi semangat mereka,” katanya.

Untuk makluman, lapan juara kumpulan dan tujuh naib juara terbaik di pusingan kelayakan akan menyertai tuan rumah Indonesia di Piala Futsal Asia ke-18, pada Januari depan.

Sumber : Muhammad Aiman

FOTO: FAM