KEM latihan Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Kebangsaan kembali ‘hidup’ dengan kehadiran sembilan pemain yang melaporkan diri ke di Wisma FAM bagi persiapan Sukan SEA 2021.

Selepas enam hari skuad kendalian Brad Maloney menjalani latihan hanya dengan lima pemain, hari ini suasana kelihatan lebih ceria dengan kehadiran Firdaus Irman Fadhil, V. Ruventhiran, A. Shivan Pillay, Aiman Afif Afizul, Ahmad Aysar Hadi Shapri, Daryl Sham, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Kesemua sembilan pemain tersebut menyertai lima lagi rakan sepasukan mereka Shafi Azswad Sapari, Haqimi Azim Rosli, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fahmi Daniel Zaaim dan Faiz Amer Runnizar yang sudah melapor diri sejak 19 April lalu.

Kelewatan sebahagian pemain-pemain itu disebabkan komitmen mereka bersama kelab masing-masing dalam mengharungi saingan Liga Malaysia.

Pemain-pemain B-23 menjalani latihan hari ketujuh bagi persiapan ke Sukan SEA, Hanoi Mei ini. Foto: FAM

Baki pemain lain dari senarai 31 pemain yang dipanggil oleh Brad Maloney akan melapor diri secara berperingkat.

Sebelum ini, Maloney memberitahu bahawa tarikh akhir untuk melihat semua pemain berkumpul selewat-lewatnya 1 Mei ini.

Kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan ini sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam dari 6 hingga 22 Mei 2022 sebelum terbang ke Uzbekistan bagi mengharungi kempen Piala Asia B-23 2022 bermula 1 hingga 19 Jun 2022.