KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam bukan sekadar petanda kebangkitan, tetapi permulaan kepada perjalanan panjang yang menuntut kerja keras konsisten jika Malaysia mahu melangkah jauh dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Jelasnya, pasukan ini dibina atas semangat berpasukan yang tinggi, bukan bersandar kepada kehebatan individu semata-mata.
“Kami ada 11 kapten di atas padang, sesiapa sahaja yang diturunkan. Setiap pemain dalam skuad ini berlatih seperti pemimpin, itulah mentaliti yang kami mahu tanam,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Cklamovski menyifatkan kejayaan menewaskan Vietnam yang sebelum ini sering menjadi mimpi ngeri buat Malaysia sebagai hasil langsung daripada fasa latihan intensif yang bermula sejak 19 Mei lalu.
“Kemenangan ini adalah refleksi kepada apa yang saya lihat setiap hari. Pemain menunjukkan komitmen luar biasa untuk membentuk sebuah pasukan yang mampu membanggakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perubahan ketara antara babak pertama dan kedua, jurulatih dari Australia itu memuji tahap disiplin anak buahnya yang kekal fokus serta berjaya memanfaatkan ruang untuk menjaringkan gol. “Kami bermain dengan disiplin – dalam bertahan, menyerang dan ketika set piece. Mereka bekerja keras dari saat pertama hingga akhir untuk rakyat Malaysia,” tambahnya.
Namun, beliau pantas mengingatkan bahawa tiga mata ini hanyalah permulaan dan masih banyak lagi langkah yang perlu diambil. “Kami boleh terus bermimpi, tetapi ia tidak cukup. Kami mesti bertindak dengan aksi, bukan hanya kata-kata. Kami perlu pulih, kami perlu analisis, dan kami perlu fokus untuk perlawanan seterusnya.”
Cklamovski turut merakamkan penghargaan kepada ribuan penyokong yang hadir memberikan sorakan membakar semangat pemain. “Malam ini, kami tunjukkan siapa kami dan apa pasukan ini mahu jadi. Kami mahu satukan penyokong dengan bola sepak. Kami mahu memberi inspirasi kepada rakyat,” katanya penuh semangat.
Artikel berkaitan: