KEKURANGAN penyertaan kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antara keluhanan utama atlet dalam sesi Townhall bersama Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah berkata, isu kebajikan juga menjadi kebimbangan atlet, yang mungkin berasa kebajikan mereka terabai.

Hannah akan meneliti semua perkongsian daripada atlet, pegawai dan persatuan sukan, sebelum merumuskannya selepas pembentangan Bajet 2023, Januari tahun hadapan.

“Atlet menyatakan mereka tak cukup pendedahan dan kekurangan kejohanan, nak perbaiki ranking.

“Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) pula kebanyakannya menyuarakan kegusaran terhadap kesukaran untuk menggunakan infrastruktur sukan, contohnya persatuan sukan para, mereka tiada venue eksklusif untuk digunakan… mereka menyewa dan perlu meletakkan pemegang tepi untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU), dan selepas tamat menggunakannya, perlu mencabut pula,” kata Hannah, selepas merasmikan Kejohanan Boling Padang (empat sepasukan) Terbuka Kuala Lumpur, di Kompleks Boling Padang, Bukit Kiara, pada Selasa.

Gimik pelancaran Kejohanan Boling Padang (Empat Sepasukan) Terbuka Kuala Lumupur, di Bukit Kiara.

Menurut Hannah, keperluan atlet dan persatuan sukan, diibarat seperti ayam dan telur.

“Macam chicken and egg, tidak tahu mana yang datang dahulu. Atlet mahu banyak kejohanan, persatuan mahu gunakan infrastruktur tetapi infrastruktur dikawal PBT (Pihak Berkuasa Tempatan)… jadi kita perlu menyelaraskan banyak pihak.

Hannah berkata, dia sudah melengkapkan sesi Townhall bersama 320 atlet membabitkan atet normal dan para, serta bertemu 150 badan sukan termasuk 33 badan sukan para, dalam empat sesi bulan ini.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi majlis Sukan Negara (MSN) menyampaikan RM20,000 kepada Persatuan Boling Padang Kuala Lumpur, bagi penganjuran acara terbabit.

Hannah turut mengesahkan semua kemudahan termasuk penginapan 48 pasukan pada kejohanan ini diberi percuma.