PUSINGAN ke-3 Kejuaraan FIM Asia Road Racing telah disahkan dan akan diadakan di Litar Antarabangsa The Sportsland Sugo di Jepun. Jadual yang terkini akan dikeluarkan dalam masa yang ditetapkan.
Menurut Pengarah Promosi Two Wheels Motor Racing Sdn. Bhd. (TWMR), Ron Hogg, FIM Asia Road Racing Championship sentiasa berusaha untuk menyediakan platform terbaik yang akan digunakan untuk menyerlahkan potensi penuh pelumba dan pasukannya.
“Kami telah berjaya menamatkan dua pusingan pertama kejohanan di Buriram, Thailand dan Sepang, Malaysia yang memberikan penunggang, pasukan dan rakan kongsi perniagaan kami sokongan yang tepat yang diperlukan untuk mempercepatkan lagi kapasiti mereka.
“Untuk Pusingan 3 yang dijadualkan pada 12-14 Ogos 2022, kami akan menuju ke Litar Antarabangsa Sportsland Sugo. Dengan minat yang semakin meningkat dalam komuniti dan peningkatan bilangan dalam pangkalan peminat, kami percaya bahawa kawasan litar akan memainkan peranan penting dalam membangunkan keperluan industri sukan permotoran secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, dia berkata pihaknya, akan menganjurkan hanya lima pusingan tahun ini dan bukannya enam pusingan.
Presiden FIM Asia, Stephan P Carapiet pula berkata, FIM teruja untuk mengadakan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sportsland Sugo, Jepun untuk perlumbaan antarabangsa yang pertama.
Sementara itu, Presiden Sportsland Sugo, Jepun, Endo Wataru, berkata, Litar Antarabangsa Sugo, sangat berbesar hati kerana dapat mengadakan ARRC kerana ia akan menjadi perlumbaan antarabangsa pertama dalam 15 tahun.
“Sila nikmati perlumbaan di litar yang indah dengan harmoni,” ujarnya.