NASIB atlet lompat tinggi negara, Ngu Jia Xin sama ada akan menerima pengurangan hukuman atau kekal dengan penggantungan dua tahun hanya dapat diketahui pertengahan Mac ini, biarpun sudah menghantar rayuan pengurangan hukuman kepada Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).
Pengarah Adamas, Azura Abidin berkata, pihaknya sudah menerima permohonan rayuan atlet lompat tinggi wanita terbabit berhubung hukuman yang dijatuhkan kepadanya.
Menurut beliau, sesi rayuan pendengaran itu dijangka akan diadakan pada pertengahan Februari ini dengan keputusan permohonan berkenaan dijangka akan diketahui dalam tempoh sebulan dari tarikh rayuan iaitu pertengahan Mac.

Pendengaran rayuan terhadap hukuman penggantungan 2 tahun hanya akan berjalan Februari ini.
“Dia (Jia Xin) sudah menghantar permohonan rayuan dan sesi pendengaran dijangka akan diadakan pada pertengahan Februari nanti.
“Sekiranya rayuan diterima, tempoh penggantungan akan berkurang dan sebaliknya sekiranya rayuan gagal maka tempoh penggantungan adalah kekal seperti makluman awal (keputusan pendengaran sebelum ini),” katanya.
Sebelum ini, Jia Xin disahkan positif doping dan dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 2 Jun lalu hingga 1 Jun 2025.
Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu diuji positif pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berlangsung pada Februari tahun lalu di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Atlet itu positif terhadap penggunaan bahan terlarang sibutramine.