PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) memberi kuasa penuh kepada Jawatankuasa Prestasi yang dipengerusikan Datuk Seri Lee Chong Wei untuk memutuskan struktur kejurulatihan, program latihan serta pelantikan jurulatih baharu.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelantikan jurulatih tidak lagi perlu dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat majlis dan memadai diputuskan di peringkat Jawatankuasa Prestasi.

“Mereka kena maklumkan kepada majlis. Tapi bila jawatankuasa prestasi sudah luluskan, sepatutnya tiada masalah. Kita kena percaya kepada kewibawaan kedua-dua pengarah kejurulatihan (Kenneth Jonassen serta Rexy Mainaky) dan juga Chong Wei,” katanya, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di Axiata Arena.

Sebarang keputusan yang melibatkan implikasi kewangan tetap perlu dibawa ke Jawatankuasa Kewangan, namun setakat ini perbincangan tertumpu kepada semakan gaji jurulatih tempatan berdasarkan prestasi dan kriteria tertentu.

Datuk Tey Seu Bock sah naik melatih perseorangan lelaki senior semula.

“Kita setuju gaji jurulatih tempatan perlu disemak semula berdasarkan prestasi dan kriteria tertentu, sama ada wajar dinaikkan atau tidak. Konsensusnya, perkara ini memang perlu dinilai semula,” kata Tengku Zafrul sambil menegaskan kadar kenaikan masih menunggu cadangan rasmi.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan Datuk Tey Seu Bock kini memikul tugas sebagai jurulatih perseorangan lelaki senior negara dan membimbing pemain ranking ke-28 dunia, Leong Jun Hao, pada Terbuka Malaysia ketika ini.

Tempat Seu Bock sebagai ketua jurulatih perseorangan remaja bakal digantikan bekas jurulatih Lee Zii Jia, Yeoh Kay Bin, dalam memastikan kesinambungan pembangunan pemain muda.