TONGGAK pertahanan Selangor FC, Kevin Deeromram melaungkan keyakinan bahawa skuad Red Giants mampu membuka kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) dengan kemenangan apabila melayan kunjungan Bangkok United di Stadium MBPJ, esok.

Kevin menegaskan sasaran pasukan adalah untuk meraih seberapa banyak perlawanan dalam saingan elit Asia itu, namun langkah pertama adalah memastikan tiga mata penuh di laman sendiri. Baginya, aksi sulung ini bukan sekadar permulaan, sebaliknya peluang membina momentum penting untuk perjalanan lebih jauh dalam kejohanan.

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi (kanan) bersama pertahanan Kevin Deeromram dalam sidang media pra perlawanan ACL 2 di Stadium MBPJ pada Rabu. FOTO: Selangor FC

“Kami teruja untuk mulakan kempen ACL 2 dan esok bakal jadi perlawanan yang menyeronokkan. Fokus kami adalah untuk dapatkan tiga mata di rumah dalam aksi pertama ini dan kemudian teruskan rentak itu,” katanya dalam sidang media praperlawanan.

Kevin turut menegaskan dirinya bersedia membantu ketua jurulatih, Kinoshi Katsuhito, dengan segala maklumat berkaitan lawan, namun enggan mendedahkannya secara terbuka kerana mahu mengekalkan kelebihan taktikal buat pasukan. Baginya, kerjasama sebagai satu unit adalah kunci untuk menundukkan wakil Thailand itu.

Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi (kanan) bersama pertahanan Kevin Deeromram dalam sidang media pra perlawanan ACL 2 di Stadium MBPJ pada Rabu. FOTO: Selangor FC

Mengulas mengenai lawan, Kevin mengakui Bangkok United merupakan sebuah pasukan yang mantap, dibimbing jurulatih berpengalaman serta dibarisi pemain berkualiti. Namun, beliau percaya dengan keupayaan Selangor untuk mencipta kemenangan, apatah lagi selepas mereka membuktikan kemampuan mengekang Buriram United di tempat lawan dalam saingan Shopee Cup sebelum ini.

“Kalau kita boleh seri dengan Buriram di tempat mereka, saya yakin kita boleh dapat tiga mata di rumah menentang Bangkok United. Itulah sasaran kami untuk esok,” katanya penuh optimis.